BUFFON sudah berusia 43 tahun. FOTO AFP
BUFFON sudah berusia 43 tahun. FOTO AFP
AFP

Milan: Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon berkata, dia gembira kerana dapat memecahkan persepsi terhadap atlet berusia bersama-sama legenda NFL, Tom Brady selepas menyambut ulang tahun kelahiran ke-43.

Bekas pemenang Piala Dunia itu menerima sambutan hari jadi lebih awal oleh bekas rakan sepasukan di Juventus serta pengurus ketika ini, Andrea Pirlo apabila diturunkan ketika mencatat kemenangan 4-0 ke atas SPAL di saingan Piala Itali sekali gus mara ke pentas separuh akhir.

"Saya gembira kerana tidak disisihkan, tetapi masih ramai lagi yang seperti saya," kata Buffon kepada Rai Sport selepas menginjak usia seperti Brady yang mengetuai Tampa Bay Buccaneers ke saingan Super Bowl pada bulan depan.

"Saya hidup dengan sangat santai dan tenang. Perjalanan masa dan tahun-tahun yang berlalu tidak dapat dielakkan, jadi anda perlu sentiasa terbuka untuk menerimanya.

"Paling penting adalah sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan bersemangat tinggi."

Buffon berkata, dia kekal tenang berhubung masa depannnya dan soal memperbaharui kontrak bersama juara Itali itu.

"Saya tidak memikirkannya, ia masih terlalu awal. Pada usia 43 tahun saya perlu fikirkan kehidupan setiap hari," katanya.

Buffon yang memegang rekod penampilan terbanyak di Serie A, sudah memenangi 24 trofi bersama Juventus termasuk 10 gelaran Serie A.

Dia turut memenangi Ligue 1 bersama Paris Saint Germain (PSG) pada 2018-2019 sebelum kembali ke kelab Turin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 8:39 AM