BUFFON ketika beraksi bersama Juventus pada 2018. FOTO AFP
BUFFON ketika beraksi bersama Juventus pada 2018. FOTO AFP
AFP

Rom: Penjaga gol Itali yang memenangi Piala Dunia 2006, Gianluigi Buffon mengumumkan persaraannya pada hari ini di usia 45 tahun.

"Setakat ini sahaja! Anda memberikan saya segala-galanya. Saya memberikan anda segala-galanya. Kita melakukannya bersama-sama," tulisnya dalam bahasa Inggeris di media sosial.

Buffon memenangi 10 gelaran Serie A bersama Juventus tetapi menamatkan karier cemerlangnya di mana semuanya bermula iaitu di Parma.

Ketika di Parma dia memenangi satu-satunya trofi kelab Eropah iaitu Piala UEFA 1999 (kini Liga Europa) tetapi bersara tanpa gelaran Liga Juara-Juara selepas tewas tiga kali di final ketika bersama Juventus.

Dia juga memenangi mahkota Ligue 1 bersama Paris Saint Germain (PSG) pada musim 2018/19 sebelum kembali ke Juventus selama dua tahun lagi.

Buffon memegang rekod pemain paling banyak beraksi di Serie A iaitu 657 perlawanan dan pemain paling banyak beraksi dalam sejarah skuad kebangsaan Itali sebanyak 176 penampilan dari 1997 sehingga 2018.

Ia termasuk lima Piala Dunia, termasuk kejayaan memenanginya pada 2006 dengan menewaskan Perancis menerusi sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 10:26 PM