BUFFON akan cari cabaran baru atau bersara selepas ini. FOTO Agensi
BUFFON akan cari cabaran baru atau bersara selepas ini. FOTO Agensi
AFP

Rom: Gianluigi Buffon berkata, dia akan meninggalkan Juventus sekali lagi hujung musim ini apabila hampir dua dekad bersama kelab berkenaan.

Dia akan terus beraksi untuk mengumpul trofi sebanyak mungkin bersama pasukan lain pada usia 43 tahun.

Bekas ketua pasukan Azzurri itu adalah ikon dalam bola sepak Itali, salah seorang bintang yang membantu negaranya meraih trofi Piala Dunia 2006 dan 176 kali beraksi di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, dia lebih banyak berada di belakang Wojciech Szczesny sejak kembali kelab berkenaan selepas beraksi dalam tempoh singkat bersama Paris Saint Germain (PSG) pada 2019 dan musim ini dia hanya beraksi 12 kali dalam semua pertandingan.

"Masa depan saya sangat jelas, pada hujung musim saya akan meninggalkan Juve dan selepas itu saya bakal mencari cabaran baru atau bersara.

"Saya banyak menerima dan memberi di Juventus namun ia sudah menemui titik noktah dan inilah masanya untuk menamatkan segala kekeliruan (mengenai masa depan)," katanya.

Buffon yang memegang rekod penampilan paling banyak di Serie A, sudah memenangi kejuaraan liga itu sebanyak 10 kali sejak menyertai Juventus pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 10:44 PM