LEWANDOWSKI meledak gol kemenangan Bayern melalui sepakan penalti. FOTO EPA
LEWANDOWSKI meledak gol kemenangan Bayern melalui sepakan penalti. FOTO EPA
AFP

Berlin: Robert Lewandowski menjaringkan gol ke-22 Bundesliga musim ini bagi membolehkan Bayern Munich kekal empat mata mendahului liga dan dibantu dengan kegagalan Alfred Finnbogason gagal menyempurnakan penalti ketika mereka menang 1-0 ke atas Augsburg pagi tadi.

Gol penalti Lewandowski pada minit ke-13 sudah cukup untuk membolehkan penyandang juara itu menjarakkan kedudukan dengan pasukan tangga kedua, RB Leipzig yang mengetepikan Union Berlin 1-0 hasil gol kemenangan Emil Forsberg.

Bagaimanapun, Bayern terselamat daripada bolos pada lewat perlawanan selepas Finnbogason gagal menyempurnakan penalti 14 minit sebelum tamat apabila sepakannya mengenai palang.

"Kami sekarang sudah menang dua aksi terakhir dan ia adalah satu peringatan buat pencabar kami," kata ketua pasukan Bayern, Manuel Neuer.

Penyerang antarabangsa Poland, Lewandowski memiliki kelebihan 10 gol berbanding pencabar terdekatnya dari Dortmund, Erling Braut Haaland bagi senarai penjaring Bundesliga.

Bagaimanapun, dia dikeluarkan pada pertengahan babak kedua selepas mengalami kecederaan namun jurulatih Bayern, Hansi Flick menjelaskan ia sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Schalke kekal di dasar liga selepas mencatat kekalahan 1-2 di laman sendiri ketika berdepan Cologne.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 11:30 AM