ROSHADI menyerahkan keputusan kepada FAM dan MFL. FOTO Malik Muhamad
ROSHADI menyerahkan keputusan kepada FAM dan MFL. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


KETUA jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab menyerahkan kepada kebijaksanaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan ataupun membatalkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Beliau akur dengan apa juga keputusan daripada FAM dan MFL selain percaya badan induk bolasepak negara itu sudah pasti akan memperhalusi situasi wabak pandemik Covid-19 itu dengan merujuk kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum membuat keputusan rasmi.

“Saya akur dan serahkan perkara itu kepada FAM dan MFL kerana percaya badan induk bola sepak negara itu mempunyai mekanisme untuk membuat keputusan.

“Saya percaya FAM dan MFL akan merujuk kepada AFC dan FIFA terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 28 April ini,” kata Roshadi.

Ketika ditanya kesan kepada pasukan jika FAM meneruskan liga ataupun membatalkan saingan itu musim ini, Roshadi ada pandangannya yang tersendiri selain sedar saingan liga terkesan kerana berhenti terlalu lama apatah lagi ketika skuadnya berada dalam momentum terbaik.

“Salah satu faktor jika liga diteruskan mungkin daripada segi kualiti permainan agak kurang, ini disebabkan jadual perlawanan kemungkinan akan menjadi padat kerana kesuntukan masa dan keadaan ini sudah tentu pemain akan keletihan untuk menghabiskan perlawanan musim ini.

“Faktor kecederaan pemain juga mungkin akan bertambah kerana tidak cukup rehat selain kemungkinan penonton tidak akan hadir ke stadium kerana bimbang dengan penularan wabak itu.

“Tapi jika perlawanan liga tidak diteruskan, bagi saya mungkin perancangan pasukan sedikit terjejas dan juga daripada segi persediaan pemain juga akan turut terkesan,” katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini sebelum perlawanan Liga Malaysia (Liga M ) ditangguhkan bermula 16 Mac lalu, skuad The Turtles menghuni tangga teratas Liga Perdana dengan mengutip 12 mata hasil empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 1:36 PM