SZE Fei-Izzuddin ternyata mempamerkan corak permainan begitu menakjubkan. FOTO ASWADI ALIAS
SZE Fei-Izzuddin ternyata mempamerkan corak permainan begitu menakjubkan. FOTO ASWADI ALIAS
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus mencipta kejutan demi kejutan dan meneruskan rentak cemerlang ke separuh akhir dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China.

Namun itu bukan perjalanan yang mudah buat pasangan negara itu apabila mereka perlu bertarung selama 69 minit menentang pasangan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di suku akhir untuk menang dalam perlawanan tiga 19-21, 21-19, 21-19 sebentar tadi.

Meskipun berada di ranking ke-19 dunia, Sze Fei-Izzuddin ternyata mempamerkan corak permainan begitu menakjubkan di BAC setakat ini apabila berjaya mengalahkan beberapa beregu terbaik dunia sebelum ini.

Dalam perlawanan itu, pasangan Taiwan yang berada di ranking ke-10 dunia itu bermula baik untuk menang set pertama sebelum beregu Malaysia mempamerkan kebangkitan di set kedua dan ketiga.

Untuk final acara beregu lelaki di BAC, Malaysia sudah ada satu wakil apabila mereka akan bertemu beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di separuh akhir esok.

Terdahulu Sze Fei-Izzuddin mencipta kejutan dengan mengeluarkan juara dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama dengan kemenangan straight set 21-13 dan 21-18 dalam tempoh 44 minit.

Di pusingan kedua pula, wakil tuan rumah, He Ji Ting-Ren Xiangyu yang berada di tangga ke-11 dunia turut menjadi mangsa beregu negara itu dengan kemenangan straight set 13-21 dan 18-21 dalam tempoh 44 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 5:54 PM