ZII Jia sudah memulakan latihan secara sendiri bermula Isnin lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
ZII Jia sudah memulakan latihan secara sendiri bermula Isnin lalu. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim menegur pemain profesional supaya bersikap lebih matang apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad negara dalam acara berpasukan termasuk Piala Thomas.

Merujuk kepada pemain perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia, Roslin berkata, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu memanjangkan isu membabitkan pemain ranking ke-10 dunia itu, namun katanya sesiapa sahaja mudah untuk memahami isu itu.

Zii Jia sebelum ini dilaporkan akan menerima bayaran pampasan bagi menyarung jersi negara dalam setiap perlawanan disertainya sepanjang kempen Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April sehingga 5 Mei ini.

Kemudian, TeamLZJ dalam satu kenyataan berkata, Zii Jia sudah memulakan latihan secara sendiri bermula Isnin lalu, iaitu sebaik sahaja pulang dari Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China sekali gus tidak menyertai sesi latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (BAM).

"Sebenarnya apabila kami beri pandangan, seboleh-bolehnya kami tak nak perkara seperti ini berlaku...tapi ia sudah pun berlaku.

"Kadang-kadang orang kata kami sikit-sikit nak 'bantai' tapi sebenarnya kami nak beri teguran saja. Sebab dulu pun saya pernah bergelar pemain profesional.

"Masa saya main Piala Thomas, ketika itu Nusa Mahsuri (kelab dinaungi Roslin) ada isu dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Memang ada bergaduh tetapi kami tetap bersikap profesional.

"Sebab itulah juga saya sertai sesi latihan bersama-sama dengan pemain lain. Kalau nak fikir keras kepala, boleh saja nak keras kepala, tapi nak buat apa," katanya ketika dihubungi.

Jelas Roslin, apa yang lebih penting sebenarnya adalah keinginan dan usaha seseorang pemain untuk menyertai kem latihan pusat bersama-sama barisan pemain lain.

"Sekurang-kurangnya apabila kita bersama-sama sertai latihan, ia membentuk keharmonian dalam pasukan sebab ada juga pemain baharu dalam pasukan itu," katanya.

Selain Zii Jia, pemain perseorangan lelaki negara turut dibarisi Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Justin Hoh.

Bagi acara beregu lelaki, beregu negara yang kini berada di ranking kelima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan membawa cabaran utama sambil dibantu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 8:31 PM