HAIKAL (kiri) akan bergandingan dengan Hon Jian. FOTO ASWADI ALIAS
HAIKAL (kiri) akan bergandingan dengan Hon Jian. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Cabaran Antarabangsa (IC) Indonesia yang akan berlangsung di Medan 5 hingga 10 September depan akan menjadi kejohanan sulung buat gandingan baharu beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Walaupun baru digandingkan minggu ini, namun kedua-dua pemain itu sudah pun menunjukkan persefahaman tinggi dalam gelanggang kerana pernah menjalani latihan bersama.

Menurut Haikal, yang sebelum ini tidak memiliki pasangan tetap, percaya dia dan Hon Jian saling melengkapi memandangkan mereka berdua memiliki kepakaran berbeza mengawal bahagian hadapan dan belakang gelanggang.

"Kalau nak cakap lega, Alhamdulillah memang saya rasa lega sudah ada pasangan tetap. Kami sudah mula menjalani latihan bersama walaupun bukan setiap hari kerana Hon Jian bermain dua acara," katanya.

Ujar Haikal, setakat ini keserasiannya dengan Hon Jian agak baik dan pasangannya itu sudah ada penyudah selain mampu mengawal gelanggang kerana turut bermain dalam acara beregu campuran.

"Kami akan bincang lagi pasal keserasian ini dalam gelanggang. Sekarang tidak risau sangat kerana saya boleh buat sepenuhnya kerja saya di bahagian hadapan kerana Hon Jian akan mengawal belakang gelanggang," katanya kepada media ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Sementara itu, pemain kelahiran Kelantan itu juga memasang hajat untuk mengejar kedudukan ranking rakan-rakan senior lain yang bakal menggalas cabaran negara pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang bermula minggu depan.

"Memang ada rasa seronok tengok senior-senior pergi ke Kejohanan Dunia tetapi kami tidak mahu fikir jauh lagi. Saya harap boleh kejar rakan-rakan yang berada di ranking 50 ke atas," ujar Haikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 2:46 PM