YEW Sin (kiri) dan Ee Yi mara ke pusingan kedua Masters Thailand. FOTO AFP
YEW Sin (kiri) dan Ee Yi mara ke pusingan kedua Masters Thailand. FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Nasib berbeza melanda dua beregu lelaki negara, apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melepasi pusingan pertama, manakala cabaran Choong Hon Jian-Haikal Nazri tersekat akibat masalah kecederaan di Masters Thailand, hari ini.

Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan keempat mara selepas mengalahkan gandingan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-17, 21-16.

Menanti pasangan profesional itu di pusingan kedua ialah Andreas Sondergaard-Jesper Toft dari Denmark yang mara selepas mengalahkan wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-19, 21-17.

Sementara itu, kecederaan dialami Haikal memaksa dia dan Hon Jian menarik diri ketika ketinggalan 7-16 di set pertama, sekali gus memberi kemenangan percuma kepada gandingan Korea Selatan.

Turut terkandas di pusingan pertama ialah satu lagi beregu lelaki profesional, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong apabila tewas 17-21, 21-18, 15-21 di tangan Chang Ko Chi-Po Li Wei dari Taiwan.

Menerima nasib sama ialah Lwi Sheng Hao-Jimmy Wong yang kalah di tangan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand, 16-21, 10-21.

Dalam aksi kelayakan, Chia Weijie-Liew Xun mara ke undian utama selepas mengalahkan satu lagi pasangan Thailand, Pongsakorn Thongkham-Wongsathorn Thongkham 21-8, 21-9, manakala Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe gagal mara selepas kalah kepada satu lagi pasangan tuan rumah, Tanadon Punpanich-Wachirawit Sothon 18-21, 21-19, 17-21.

Sementara itu, dua perseorangan lelaki, Soong Joo Ven dan Aidil Sholeh Ali Sadikin gagal mara ke undian utama selepas terkandas di peringkat kelayakan.

Joo Ven kalah kepada Wong Po Wei dari Taiwan, 17-21, 13-21, manakala Aidil Sholeh kalah di tangan Jason Gunawan (Hong Kong) 13-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 10:05 PM