XIN Ying tawan acara wanita B-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
XIN Ying tawan acara wanita B-15. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) menjadi antara platform terbaik untuk melahirkan pemain lebih ramai pemain elit untuk beraksi di pentas Olimpik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Sean Wang, penganjuran kali pertama AJBC yang bermula tiga bulan lalu menghimpunkan 2,300 peserta berusia lingkungan 15 tahun ke bawah dengan 151 daripada mereka dipilih untuk berentap di pusingan akhir.

Beliau berkata, 12 pemain dinobatkan pemenang membabitkan empat kategori iaitu perseorangan dan beregu lelaki serta wanita sekali gus membawa pulang hadiah kemenangan RM1,000 untuk tempat pertama manakala RM500 diberikan kepada naib juara.

"Menerusi AJBC, matlamat kami adalah untuk menyediakan pemain badminton dengan platform yang bagus dan akses kepada pertandingan seusia yang akan membolehkan mereka memperoleh pengalaman terbaik.

"Selain itu, AJBC akan diteruskan pada tahun depan dengan diperluaskan lagi perlawanan di Sabah dan Sarawak sekali gus mencungkil lebih banyak bakat muda pada masa hadapan," katanya, ketika ditemui pada perlawanan akhir AJBC 2022, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, juara perseorangan lelaki bawah 15 tahun (B 15) Razeeq Danial Roslie berkata, walaupun mendapat tentangan sengit daripada lawannya Wong Jia Lun namun dia berjaya mengekalkan momentum sebelum meraih kemenangan 21-14,21-13.

"Saya mengharapkan momentum kemenangan ini dapat diteruskan apabila beraksi untuk pemilihan mewakili Selangor bulan depan," katanya.

Selain itu, pemenang perseorangan wanita B-15 Teh Xin Ying tidak menghadapi masalah merekodkan kemenangan ke atas lawannya Ng Hui Min 22-20,21-9 untuk bergelar juara kategori terbabit.

Xin Ying yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Selatan turut beraksi cemerlang bersama pasangannya Lee Weng Yan untuk memenangi tempat pertama kategori beregu wanita B-15.

"Saya sebenarnya lebih berminat untuk beraksi dalam kategori beregu dan mengharapkan kejuaraan ini mampu diteruskan pada penyertaan di kejohanan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 7:20 PM