Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pemain keletihan akibat jadual padat bukan salah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya ia keputusan jurulatih.

Itu jawapan Pengarah Kejohanan BAM Dr Koay Ban Hing selepas pemain perseorangan negara, Liew Daren menyelar penyusunan jadual pertandingan domestik badan induk itu kelmarin.

“Terpulang kepada jurulatih, memang kita tahu pemain tidak boleh bermain secara berturut-turut kerana mereka akan keletihan,” katanya.

Jelasnya, terpulang kepada jurulatih sama ada seseorang pemain itu boleh beraksi atau tidak dalam mana-mana kejohanan.

“Pemain juga kadangkala mahu beraksi sedangkan badan mereka tidak cukup rehat. Institut Sukan Negara (ISN) juga tidak menggalakkan pemain keletihan untuk terus beraksi.

“Malah mereka yang tewas awal di mana-mana kejohanan juga perlu meneruskan latihan seperti biasa. Kita bukan mesin, mesin juga perlu rehat,” katanya.

Ujarnya, ada juga jurulatih tidak membenarkan pemain beraksi kerana keletihan, namun untuk membina semula keyakinan dan memberi sokongan kepada kejohanan domestik, seseorang pemain itu mengingkari arahan berkenaan.

“BAM tidak menyalahkan Daren jika dia berasa letih, kerana kita sedar pemain juga perlu berehat. Saya juga sudah bercakap perkara ini banyak kali.”

Dalam pada itu, Zulfadli Zulkiffli muncul juara Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan 2014 apabila menumpaskan Lim Chi Wing 21-12, 21-15, manakala perseorangan wanita pula menyaksikan Yang Li Lian mengalahkan Lee Ying Ying 21-16, 21-13.

Gandingan Mak Hee Chun-Tan Bin Shen muncul juara beregu lelaki selepas menewaskan Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi 21-18, 21-15, manakala Amelia Alicia Ans
celly-Soong Fie Cho unggul beregu wanita menumpaskan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean 21-17, 21-14.

Bagi acara beregu campuran pula, Mohd Lutfi Zaim Abdul Khalid-Soong Fie Cho muncul juara selepas menundukkan Tan Aik Quan-Lai Pei Jing 21-15, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 4:54 AM