JURULATIH perseorangan negara, Hendrawan. -FOTO NSTP
JURULATIH perseorangan negara, Hendrawan. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan menegaskan akan kekal komited untuk membantu jaguh perseorangan negara, Ng Tze Yong menghadapi Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Jurulatih berusia 51 tahun itu yang sudah membimbing Tze Yong selama dua tahun berkata, dia mempunyai tanggungjawab yang jelas untuk membantu Tze Tong di Paris.

"Saya mempunyai misi jelas bersama Tze Yong. Saya kekal komited dengan tanggungjawab saya bagi membimbing Tze Yong menghadapi Olimpik Paris," kata Hendrawan.

Kenyataan jurulatih dari Indonesia itu sekali gus menepis khabar angin yang mengatakan beliau akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam masa terdekat.

Hendrawan tidak dinafikan antara watak utama membantu meningkatkan prestasi Tze Yong yang ketika ini menduduki ranking ke-14 dunia serta berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.

Tze Yong turut berjaya memenangi pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan muncul naib juara Terbuka Artik di Vantaa, Finland, bulan lalu.

Hendrawan yang memainkan peranan penting ketika membantu Datuk Lee Chong Wei memenangi perak Sukan Olimpik Rio 2016 tekad untuk terus membantu Tze Yong.

"Proses kelayakan (Olimpik Paris) sangat kompetitif dan Tze Yong tidak memerlukan sebarang gangguan pada peringkat ini. Kami akan bersama bagi mencapai matlamat kami," kata Hendrawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 2:12 PM