PEARLY dan Thinaah mara pusingan kedua di Jepun.
PEARLY dan Thinaah mara pusingan kedua di Jepun.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Aksi sulung selepas sebulan tak beraksi dimulakan dengan terpuji oleh beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Masters Jepun di Kumamoto, hari ini.

Bagaimanapun, gandingan ke-13 dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum melakar kemenangan ke atas beregu Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan 21-14, 20-22, 21-18 di pusingan pertama yang berlangsung di Gimnasium Kumamoto.

Kali terakhir Pearly-Thinaah beraksi adalah di Sukan Asia Hangzhou, bulan lalu sebelum Pearly mengalami kecederaan sehingga menarik diri tiga kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Artik, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.

Menanti Pearly-Thinaah di pusingan kedua, Khamis ini adalah sama ada pasangan tuan rumah, Rui Hirokami-Yuna Kato atau Francesca Corbett-Allison Lee dari Amerika Syarikat.

Sementara itu, beregu profesional lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas mengatasi rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-16, 21-7.

Ee Yi-Yew Sin akan bertemu pemenang perlawanan antara Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga dari Thailand dengan beregu China, Chen Bo Yang-Liu Yi bagi perebutan tiket ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 9:06 PM