THINAAH (kiri) dan Pearly memberikan persembahan positif. FOTO Ihsan Badminton Photo
THINAAH (kiri) dan Pearly memberikan persembahan positif. FOTO Ihsan Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Daripada enam wakil negara dalam acara beregu di Terbuka Korea, hanya penampilan beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah yang memuaskan hati Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.

Biarpun tewas di pusingan kedua, Pearly-Thinaah menunjukkan semangat melawan yang luar biasa sebelum tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 17-21, 21-17, 19-21.

Perkembangan itu sedikit sebanyak memberi petanda positif buat Pearly yang baru kembali pulih daripada kecederaan.

"Persembahan Pearly-Thinaah sangat baik. Mereka beraksi dengan semangat melawan sebelum tewas.

"Ini satu perkembangan positif buat Pearly sejak dia kembali daripada kecederaan siku," katanya.

Namun sebaliknya dalam acara beregu lelaki apabila persembahan Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak seperti yang diharapkan berbanding dengan apa yang mereka sudah lakukan ketika di Terbuka Singapura dan Indonesia.

"Secara keseluruhan masih banyak yang perlu dilakukan. Aaron-Wooi Yik prestasi mereka kurang sikit.

"Man Wei Chong-Tee Kai Wun masih perlu tingkatkan konsistensi mereka. Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei sejak mereka berpisah, semalam lawan dengan beregu nombor satu dunia dari Indonesia ada sedikit rasa tak percaya diri.

"Manakala dalam acara beregu campuran pula persembahan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kurang bagus. Banyak yang mereka gagal lakukan. Ada nampak mereka sedikit gementar.

"Bagi Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing mereka ini banyak buat kesalahan padahal banyak peluang untuk kejutkan pasangan Thailand. Mei Xing perlu lebih fokus saat lawan pasangan handalan," katanya.

Aksi pemain negara selepas ini akan diteruskan di Terbuka Jepun dari 25 hingga 30 Julai ini diikuti dengan Terbuka Australia dari 1 hingga 6 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 4:06 PM