THINAAH dan Pearly kandas di suku akhir Sukan Asia.
THINAAH dan Pearly kandas di suku akhir Sukan Asia.
Fabian Peter


Hangzhou: Perancangan kejohanan dan program latihan yang lebih baik diperlukan oleh Pearly Tan-M Thinaah bagi meningkatkan prestasi mereka.

Sebelum bermula Sukan Asia Hangzhou, beregu wanita utama negara itu diramal mampu memenangi pingat, tetapi semalam, gandingan yang menduduki ranking kesembilan dunia itu tersingkir di suku akhir.

Walaupun mempunyai kelebihan selepas memenangi set pertama, juara Terbuka Perancis 2022 itu akhirnya tewas 21-15, 11-21, 7-21 kepada beregu nombor dua dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan.

Dalam temu bual selepas perlawanan, gandingan negara itu mengakui mereka tidak sabar dan keletihan pada hujung perlawanan.

Jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How percaya situasi itu berlaku kerana jadual padat terpaksa diharungi oleh Pearly-Thinaah.

Faktor kecederaan membelenggu Pearly-Thinaah juga menyebabkan mereka terpaksa menarik diri daripada beraksi di beberapa kejohanan sekali gus menjejaskan pungutan mata ranking Olimpik mereka.

"Saya tidak mahu mengatakan prestasi Pearly-Thinaah teruk. Saya juga tidak mahu memberikan sebarang alasan susulan kekalahan mereka di peringkat suku akhir.

"Bagaimanapun, saya percaya untuk tempoh ke depan, kami akan menguruskan kejohanan yang disertai mereka dengan lebih teliti selain meningkatkan program latihan mereka," kata Thien How.

Menjelaskan lebih lanjut, Thien How berkata, jurang antara Pearly-Thinaah dan gandingan beregu utama yang lain tidaklah terlalu besar.

"Sebelum ini mereka perlu sertai kejohanan berturut-turut dan di antara kejohanan itu, mereka mempunyai satu atau dua minggu untuk berlatih.

"Situasi seperti itu pasti akan membebankan mana-mana pemain. Pearly-Thinaah tiada pilihan kerana mereka memerlukan mata ranking Olimpik.

"Apa yang kami perlukan sekarang ialah perancangan kejohanan yang betul dan latihan berkualiti. Hanya dengan itu mereka akan dapat menyaingi bersama lawan yang terbaik.

"Jika mengikut perkiraan, mereka sudah layak ke Sukan Olimpik Paris. Ini bermakna kami kini boleh merancang kejohanan yang perlu disertai dengan lebih baik dan menumpukan kepada usaha meningkatkan kemampuan mereka menerusi sesi latihan lebih baik," kata Thien How.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 5:09 PM