AKSI Pearly dan Thinaah ketika menentang beregu Korea.
AKSI Pearly dan Thinaah ketika menentang beregu Korea.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Luar biasa. Itu kesimpulan boleh diberikan mengenai prestasi beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah yang kecundang di final Masters Malaysia, semalam.

Jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How mengakui terkejut dengan kecergasan dan prestasi dipamerkan pasangan negara berkenaan, meskipun sebelum ini mereka terpaksa menarik diri susulan masalah kesihatan selain perlu berdepan jadual padat dan menyertai kejohanan berturut-turut.

"Sebelum ini, dalam kejohanan tak pernah tengok mereka main sampai satu jam 51 minit untuk satu perlawanan.

"Agak terkejut kerana Pearly baru pulih daripada selesema, tapi boleh bertahan sampai macam ini dan ini memang bagus.

"Sebelum ini mereka terpaksa tarik diri daripada Kejohanan Badminton Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sempat berlatih lima hari sebelum menyertai Piala Sudirman dan terus menyertai Masters Malaysia, prestasi memang bagus," katanya selepas aksi final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena, semalam.

Pearly-Thinaah terlepas peluang merangkul kejuaraan pertama di laman sendiri selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 20-22, 21-8, 17-21 pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam 41 minit.

Sementara itu, Thien How berkata, Pearly-Thinaah akan melakukan sparring dengan beregu lelaki dalam usaha memantapkan lagi ketajaman serangan mereka sebagai persediaan ke Terbuka Singapura 2023, bulan depan.

"Mungkin selepas ini perlu banyak berlatih dengan beregu lelaki untuk tingkatkan kekuatan dan ketajaman serangan.

"Selain itu, kita juga perlu bijak ketika melakukan serangan terutama menentang beregu yang memiliki pertahanan kuat seperti Korea," ujarnya.

Dalam pada itu, jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen nyata gembira dengan aksi ditampilkan gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun apabila muncul naib juara kejohanan selepas tewas 15-21, 24-22 dan 19-21 kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae.

Menurut Bin Shen, prestasi dipamerkan beregu di kedudukan ke-26 dunia pada kejohanan Super 500 itu adalah permulaan baik buat mereka sebelum menyertai kejohanan di gred lebih tinggi seperti Super 1000 untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Wei Chong-Kai Wun ada peluang lagi untuk Olimpik, permulaan yang baik bagi mereka. Saya harap mereka akan kekal konsisten, belajar dan kemudian tunjukkan kemampuan.

"Namun kalau ada mana-mana pemain termasuk pemain junior yang mampu bermain di kejohanan Super 1000 pun, mereka ada peluang," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 6:41 PM