TZE Yong berdepan tugas getir esok.
TZE Yong berdepan tugas getir esok.
Fabian Peter


Hangzhou: Pemain perseorangan negara Ng Tze Yong berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada Datuk Lee Chong Wei selepas menewaskan pemain Thailand Kantaphon Wangcharoen untuk mara ke suku akhir di Sukan Asia Hangzhou hari ini.

Dalam saingan peringkat 16 di Gimnasium Binjiang, pemain nombor 19 dunia itu yang sebelum ini menewaskan bekas juara dunia dari Singapura Loh Kean Yew di pusingan pertama tiada masalah mengatasi Kantaphon 21-17, 21-12.

"Ya, Chong Wei ada menghubungi saya," kata Tze Yong kepada wartawan selepas tamat perlawanan menentang Kantaphon.

"Bagaimanapun, saya fikir lebih saya simpan nasihatnya untuk diri saya sahaja dan tidak mendedahkannya kepada umum," katanya.

Namun, sama ada perbualan mereka berdua dapat menyuntik semangat Tze Yong hanya akan dapat dilihat apabila dia menentang finalis Kejohanan Dunia, Kodai Naraoka dari Jepun di peringkat lapan terakhir esok.

Kodai yang belum pernah ditewaskan Tze Yong dalam dua pertemuan mereka sebelum ini mengatasi cabaran pemain India K Srikanth 21-16, 21-17.

Sementara itu, beregu utama wanita negara Pearly Tan-M Thinaah, menepati ramalan apabila turut mengiringi Tze Yong ke suku akhir.

Juara Terbuka Perancis 2022 itu tidak berdepan masalah menewaskan wakil Thailand Jonkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-15, 21-17.

Namun Pearly-Thinaah yang menduduki ranking ke-9 dunia berdepan tugas sukar apabila bakal menentang beregu nombor dua dunia Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 9:17 PM