TZE Yong akan menentang pemain Thailand.
TZE Yong akan menentang pemain Thailand.
Fabian Peter


Hangzhou: Selepas kecewa dengan kekalahan Malaysia dalam acara badminton berpasukan di Sukan Asia Hangzhou, pemain perseorangan negara Ng Tze Yong bangkit cemerlang menerusi pertandingan individu.

Tze Yong mencipta sensasi apabila menewaskan bekas juara dunia Loh Kean Yew dari Singapura 21-12, 21-14 untuk mara ke peringkat 16 terakhir di Gimnasium Binjiang hari ini.

Kemenangan itu yang ketiga Tze Yong ke atas Kean Yew dalam empat pertemuan sejak Sukan Komanwel Birmingham 2022.

"Setiap perlawanan adalah peluang untuk saya perbaiki prestasi. Cabaran saya sekarang ialah kekal konsisten. Saya tewaskan pemain handalan pada satu masa tetapi kemudiannya bergelut pada hari berikutnya. Saya perlu atasi masalah ini," kata pemain nombor 19 dunia itu yang akan menentang pemain Thailand Kantaphon Wangcharoen untuk memburu tempat ke suku akhir.

Turut mara ialah beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah. Juara Terbuka Perancis 2022 itu tiada masalah mengatasi cabaran wakil Singapura Jin Yu Jia-Crystal Wong 21-12, 21-16 di pusingan pertama dan akan menentang beregu Thailand Jonkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai selepas ini.

Namun satu lagi beregu negara Go Pei Kee-Valeree Siow tiada jawapan kepada kehandalan pasangan Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida apabila tewas 21-9, 21-13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 8:31 PM