AKSI Tze Yong pada perlawanan final. FOTO Ihsan BAM
AKSI Tze Yong pada perlawanan final. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat


BIARPUN penamat kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak seperti yang di inginkan apabila tiga pemain perseorangan menarik diri namun sekurang-kurangnya ia dapat mengembalikan rasa pertandingan buat semua pemain.

Itu juga yang dirasai oleh juara perseorangan lelaki Ng Tze Yong yang berasa kurangnya nilai juara itu tanpa kehadiran Lee Zii Jia, Liew Daren dan Soong joo Ven yang terpaksa menarik diri kerana mengalami kecederaan.

Namun kata Tze Yong tiada apa yang boleh dilakukan kerana itulah adat pertandingan.

Tze Yong muncul juara perseorangan lelaki Divisyen 1 selepas menewaskan juara Divisyen 2, Leong Jun Hao 21-13, 21-8.

Tze Yong, 20, melakarkan kemenangan mudah ketika berdepan Jun Hao yang dilihat mengalami kecederaan pada pinggul sebelah kanan di set kedua.

"Saya memang tahu Jun Hao mengalami kecederaan sebelum perlawanan berlangsung tapi saya tetap mahu memberikan aksi yang terbaik. Mengutip mata sebanyak mana yang boleh.

"Saya tak mahu lepaskan peluang ini kerana jika saya anggapnya mudah dan Jun Hao mengejar, saya takut saya sendiri yang tertekan," katanya.

Kali terakhir pemain Tze Yong bergelar juara adalah September tahun lalu di Terbuka Australia.

Bagi juara remaja Asia, Jun Hao dia sudah memberikan yang terbaik namun kecederaan yang dialaminya itu sukar untuk dikawal.

Namun dia tidak menolak, saingan yang padat bermula dengan saingan Divisyen 2 diikuti Divisyen satu antara penyebab kecederaannya itu.

Sementara itu bagi saingan perseorangan wanita, Soniia Cheah menundukkan Eoon Qi Xuan, 21-16, 25-23 dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mudah menewaskan Pearly Tan-M Thinaah, 21-14, 21-17.

Manakala juara beregu lelaki dimenangi Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menewaskan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-14, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 9:37 PM