ROSLIN (dua kanan) bersalaman bersama Kenny (dua kiri) selepas kes saman fitnah terhadap Roslin diselesaikan secara baik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH
ROSLIN (dua kanan) bersalaman bersama Kenny (dua kiri) selepas kes saman fitnah terhadap Roslin diselesaikan secara baik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi & Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Biarlah ia jadi satu pengajaran, itulah yang diluahkan bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim selepas kemelutnya dengan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berakhir hari ini.

Menurut Roslin, sekarang ini dia dan Kenny akan sama-sama memikirkan mengenai masa depan badminton negara sekali gus melupakan apa yang berlaku sebelum ini.

"Sudah selesai sekarang kami perlu pandang ke depan demi badminton Malaysia. Hendak cakap lebih pun tidak ada. Kita berdua pun sudah capai persetujuan, semuanya sudah okay," kata Roslin kepada media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ujarnya, mereka perlu memikirkan mengenai badminton Malaysia sebab selepas ini banyak lagi kejohanan perlu disertai pemain negara seperti Sukan Asia Hangzhou dan juga Piala Thomas/Uber.

"Kita akan berbincang sedikit akan bekerjasama untuk masa depan badminton negara. Alhamdulillah saya berasa lega semuanya sudah berakhir, benda yang berlaku ini saya ambil sebagai pengajaran," katanya.

Sementara itu Kenny, sependapat dengan Roslin bahawa mereka berdua harus pandang ke depan selepas segala-galanya sudah selesai.

"Lagi pun bukan hari ini saya mengenali Roslin, sudah lama kami berkenalan. Segalanya dah selesai dengan baik. Ada peluang nanti kami duduk berbincang memikirkan masa depan badminton negara," katanya.

Kes saman fitnah Kenny Goh terhadap bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin diselesaikan secara baik hari ini.

Ia berikutan Roslin mengemukakan permohonan maaf kepada Kenny yang dibacakan melalui pernyataan maaf bertulis di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain.

Roslin ketika membacakan pernyataan maaf itu berkata, beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kerana membuat kenyataan fitnah dan menyinggung Kenny Goh dalam siaran langsung 'Facebook Live' melalui akaun Facebooknya, 'Abe Lin' pada 19 Januari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 4:10 PM