ROSLIN turut memuji gandingan V Shem (kiri) dan Wee Kiong yang berjaya muncul naib juara Yonex Terbuka Thailand minggu lalu. FOTO Instagram weekiongvshem
ROSLIN turut memuji gandingan V Shem (kiri) dan Wee Kiong yang berjaya muncul naib juara Yonex Terbuka Thailand minggu lalu. FOTO Instagram weekiongvshem
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Selepas sekian lama tidak beraksi di pertandingan kompetitif, prestasi skuad badminton negara di kejohanan badminton Yonex Terbuka Thailand yang tamat semalam boleh dikatakan sebagai memuaskan.

Itu pandangan bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim yang turut memuji kejayaan Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mampu mara ke pentas akhir sebelum kecundang kepada beregu Taiwan.

Kata Roslin, seperti semua sedia maklum, ketika ini masih ramai lagi pemain yang sedang mencari rentak terutama selepas sekian lama tidak beraksi secara kompetitif.

Namun kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 1,000 ini sewajarnya menjadi tempat buat mereka memperbaiki kelemahan dan segera bangkit pada saingan seterusnya iaitu Toyota Terbuka Thailand yang akan bermula hari ini.

"Kalau dilihat dari segi keseluruhannya, pemain negara tidak gagal. Tapi itu tidak bermakna mereka bagus. Bagaimanapun, ia boleh dikatakan memuaskan untuk kejohanan pertama tahun ini dan selepas 10 bulan tidak beraksi.

"Ada pemain yang ke suku akhir, separuh akhir dan V Shem-Wee Kiong ke akhir, itu bermakna masih lagi okay. Tapi kalau kalah di pusingan pertama atau kedua itu barulah boleh dikatakan mereka teruk.

"Macam (Lee) Zii Jia pula, selepas lama tak beraksi dan berjaya ke suku akhir sebelum tewas kepada pemain kedua dunia, itu juga boleh dikira bagus. Tapi dia tak bolehlah nak berpuas hati dengan pencapaian itu.

"Dia perlulah menyesuaikan diri dengan cepat dalam pertandingan kerana inilah masanya untuk perbaiki kelemahan," katanya. Roslin yang kini menjadi pemerhati bebas dan juga bekas pemain kebangsaan itu berkata, beliau yakin kejohanan Terbuka Thailand yang kedua ini akan melihat potensi sebenar status pemain negara.

"Bulan ini kesemua pemain mempunyai tiga kejohanan dan inilah yang perlu dimanfaatkan semua untuk perbaiki kelemahan dan dapatkan balik sentuhan terbaik sebelum kelayakan ke Sukan Olimpik bermula tak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 12:24 AM