ROSLIN (tiga dari kanan) mengemukakan permohonan maaf kepada Chin Chai (empat dari kiri). FOTO Ihsan Facebook Jahaberdeen Mohamed Yunoos
ROSLIN (tiga dari kanan) mengemukakan permohonan maaf kepada Chin Chai (empat dari kiri). FOTO Ihsan Facebook Jahaberdeen Mohamed Yunoos
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kes saman fitnah Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai terhadap bekas pemain badminton nombor satu dunia, Muhammad Roslin Hashim diselesaikan secara baik.

Ia berikutan Muhammad Roslin mengemukakan permohonan maaf kepada Chin Chai yang dibacakan melalui pernyataan maaf bertulis di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Muhammad Roslin ketika membacakan pernyataan maaf itu berkata, beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kerana membuat kenyataan fitnah dan menyinggung Chin Chai dalam siaran langsung 'Facebook Live' melalui akaun Facebooknya, 'Abe Lin' pada 19 Januari tahun lalu.

"Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Ng Chin Chai. Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya sebagai seorang peguam dan pegawai Persatuan Badminton, terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

"Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Ng Chin Chai melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali.

"Saya sekali lagi memohon maaf kepada Datuk Ng Chin Chai dan berharap agar permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik Datuk Ng Chin Chai serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Datuk Ng Chin Chai.

"Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut atau apa -apa kata-kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Datuk Ng Chin Chai," katanya.

Terma penyelesaian di antara kedua pihak direkodkan di Mahkamah dalam satu Penghakiman Persetujuan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Dalam penyelesaian secara aman ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan terma-terma penyelesaian sebagai sulit.

Minggu lalu, Roslin mengemukakan permohonan maaf kepada Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh yang dibacakan melalui pernyataan maaf bertulis di Mahkamah Tinggi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 3:07 PM