Lee Zii Jia jadi taruhan perseorangan negara.
Lee Zii Jia jadi taruhan perseorangan negara.
Ferzalfie Fauzi


BAYANGKAN, Jepun dan China juga menarik diri dari Piala Thomas bulan depan, kejohanan diteruskan seperti biasa tapi Malaysia tidak mampu muncul juara.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim berkata, jika itu yang berlaku skuad negara dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu bersedia untuk menerima kritikan tanpa belas kasihan dari peminat badminton negara.

"Sekarang Indonesia sudah sah tarik diri, China dan Jepun dengar akan membuat keputusan sama cuma belum sah lagi. Jika China dan Jepun menarik diri saya rasa kejohanan ini sudah tidak prestij atau tiada kemeriahan," katanya.

Bagi Roslin, jika perkara itu berlaku peluang untuk mendapat semula gelaran Piala Thomas sangat cerah dan ia adalah kesempatan terbaik.

"Kalau betul-betul kita hendak ambil semula Piala Thomas, masa inilah. Tapi harus diingat dengan kata-kata orang luar dan terima apa yang mereka akan cakap nanti.

"Pastikan skuad badminton negara ada jawapan sebelum pergi. Menang akan dikutuk tapi tidak seteruk jika kita kalah (gagal meraih trofi). Bagaimanapun, bagi saya kutukan dan cacian adalah lumrah," katanya.

Roslin Hashim. FOTO File NSTP
Roslin Hashim. FOTO File NSTP

Ditanya mengenai pemain negara yang dilihat sudah bersedia tidak kira apa keputusan sekali pun (pergi atau tidak pergi ke Aarhus, Denmark), Roslin berkata beliau ada mendengar bahawa sesetengah pemain sebenarnya enggan ke negara berkenaan.

"Risau akan Covid-19 adalah antara sebab utama mereka tidak mahu pergi ke kejohanan itu. Ia disebabkan mereka tidak ada jaminan bila ke sana, paling menjadi keutamaan adalah keselamatan pemain.

"Inilah sebab utama mengapa negara lain terutama Indonesia menarik diri, jangan sampai hendak kejar sangat Piala Thomas sampai abaikan kesihatan dan keselamatan pemain," kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Bagaimanapun, Roslin berkata, jika Malaysia berkeras hendak ke kejohanan itu dan tuan rumah serta Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih mahu meneruskan saingan Piala Thomas/Uber, sasaran skuad negara harus ditukar.

"Kalau hendak pergi juga, pastikan juara, tiada alasan. Apa alasan hendak bagi lagi jika gagal, lagi teruk kena nanti.

"Sasaran kalau masih sama separuh akhir, baik tidak perlu pergi. Sasaran harus ditukar. Kalau Jepun dan China masih tidak tarik diri takkanlah Malaysia tidak mampu ke akhir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 11:33 PM