AARON (kiri) dan Wooi Yik kandas awal. FOTO EPA
AARON (kiri) dan Wooi Yik kandas awal. FOTO EPA
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky nyata kecewa dengan persembahan yang ditampilkan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas tersingkir pada pusingan pertama kejohanan Seluruh England.

Bagaimanapun beliau berkata, secara keseluruhan Aaron-Wooi Yik sudah menampilkan aksi yang baik pada perlawanan itu, namun sedikit kesilapan yang dilakukan nyata memakan diri sekali gus

meranapkan harapan mereka untuk meraih gelaran pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 1000 itu.

"Siapa pun akan kecewa, bukan saya sahaja, malah pemain turut merasakannya. Apa yang paling saya kesal adalah aksi di set pertama kerana kita mengawal permainan tetapi agak perlahan ketika mata penting.

"Kita hanya lebih banyak bertahan berbanding memberi tekanan kepada pasukan lawan. Bagaimanapun, aksi di set kedua kita bermain dengan bagus dan menang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan," katanya.

Terdahulu pada pusingan pertama semalam, Aaron-Wooi Yik kalah mengejut kepada

pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin meskipun beregu nombor dua dunia itu tidak pernah tewas dalam empat pertemuan terdahulu.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, pasangan negara itu akur tewas 18-21, 21-14, 13-21 dalam tempoh satu jam.

Dalam pada itu, Rexy percaya Aaron-Wooi Yik sedikit tersentak pada set penentuan apabila pemain lawan terus memberi tekanan dan tidak membenarkan mereka untuk melakukan serangan.

"Pada set ketiga, Aaron-Wooi Yik agak terkejut apabila pasangan Indonesia lebih banyak menekan dan tidak benarkan kita untuk ke depan jaring. Kita cuba untuk perlahankan tempo mereka tetapi di situlah berlaku kesilapan.

"Dari situ, Indonesia dapat kelebihan dari segi psikologi dan langsung tidak berikan ruang kepada kita. Saya fikir set ketiga kita bermain terlalu memaksa dan itu bukan permainan sebenar Aaron-Wooi Yik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 4:02 PM