PEARLY (kiri) dan Thinaah gagal meneruskan kemaraan. FOTO Badminto Photo
PEARLY (kiri) dan Thinaah gagal meneruskan kemaraan. FOTO Badminto Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk mara ke suku akhir di Terbuka Jepun tidak kesampaian apabila tumpas di pusingan kedua hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Yoyogi First Gymnasium, Tokyo, gandingan negara itu akur tumpas kehebatan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen- Jia Yi Fan 15-21, 13-21.

Untuk rekod ini adalah kekalahan keempat Pearly-Thinaah kepada gandingan China yang mana sebelum ini mereka juga turut tumpas di Terbuka Korea pada pusingan kedua minggu lalu.

Selain Pearly-Thinaah, turut tersingkir di pusingan kedua hari ini adalah pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang tewas straight set kepada pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Yuan Xi 14-21, 17-21.

Turut menerima nasib yang sama, adalah gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tumpas kepada pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi-Lin.

Walaupun berjaya memenangi set pertama, 21-15, namun momentum itu gagal dikekalkan pada dua set berikutnya sekali gus tewas 18-21, 16-21 dalam aksi yang memakan masa 1 jam 4 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 11:57 AM