AKSI Thinaah dan Pearly ketika menentang beregu Jepun. FOTO BAM
AKSI Thinaah dan Pearly ketika menentang beregu Jepun. FOTO BAM
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mempamerkan aksi penuh bertenaga untuk menumbangkan gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida di peringkat suku akhir Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Kemenangan Pearly-Thinaah ke atas beregu di ranking ke-3 dunia itu secara tidak langsung menghidupkan peluang untuk melihat sekurang-kurangnya satu wakil negara menaiki podium pada kejohanan kali ini.

Malah, ia dilihat sebagai peluang terbaik buat mereka untuk menebus kekecewaan di Terbuka Denmark tempoh hari apabila sekadar menamatkan saingan di pusingan kedua.

Pada perlawanan berlangsung di Stade Pierre de Coubertin itu menyaksikan Pearly-Thinaah masih mencari rentak sebenar mereka dalam set pertama dan ia memberi ruang kepada lawannya untuk menguasai permainan dengan kemenangan 21-15.

Berbekalkan status selaku beregu ranking ke-11 dunia nyata tidak menjadi masalah buat Pearly-Thinaah untuk terus memberi saingan sengit dalam set kedua.

Mereka dilihat tampil lebih agresif apabila kerap mengancam lawannya itu di samping cemerlang menangkis setiap smash dan akhirnya meraih kemenangan 21-14, sekali gus mengheret ke set penentuan.

Pearly-Thinaah yang juga juara Terbuka Switzerland pada tahun lalu itu berjaya mengekalkan corak permainan kemas dan agresif ketika saingan set penentuan sebelum meraih kemenangan bergaya 21-14.

Menanti pemain negara di separuh akhir adalah gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee yang mara selepas menewaskan pilihan utama kejohanan iaitu wakil dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 21-16, 23-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 10:36 PM