PEARLY (kiri) dan Thinaah gagal teruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
PEARLY (kiri) dan Thinaah gagal teruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tersingkir awal selepas tewas di pusingan pertama kepada pasangan Jepun Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara di kejohanan Seluruh England yang berlangsung hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, meskipun pasangan negara berjaya memenangi kedua-dua aksi bertemu bekas juara dunia itu sebelum ini, namun momentum berkenaan gagal diteruskan mereka apabila tunduk 13-21, 21-15, 15-21 dalam aksi yang memakan masa hampir satu jam.

Selain Pearly-Thinaah, turut terkandas di pusingan pertama ialah pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei selepas tewas kepada naib juara edisi 2021 dari Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matustomo.

Pujian harus diberikan kepada Tang Jie-Ee Wei yang memberi tentangan sengit sebelum akur tumpas dalam aksi rubber set 19-21, 24-22, 17-21.

Dalam pada itu, satu lagi pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 10:33 PM