WOOI Yik (kiri) dan Aaron berjaya mara ke suku akhir Terbuka Jepun. FOTO Ihsan Badminton Photo
WOOI Yik (kiri) dan Aaron berjaya mara ke suku akhir Terbuka Jepun. FOTO Ihsan Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ketika tiga beregu negara tersungkur di pusingan kedua Terbuka Jepun, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menyelamatkan maruah negara apabila berjaya menempatkan diri ke suku akhir.

Aaron-Wooi Yik tidak berdepan masalah untuk menundukkan bekas juara Seluruh England dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-12, 21-10 dalam perlawanan yang berlangsung 24 minit.

Aaron- Wooi Yik yang kini berada di ranking keempat dunia melebarkan rekod kemenangan 3-0 ke atas pasangan Indonesia itu.

Menanti mereka di suku akhir adalah beregu tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan kelima, Takuro Hoki-Yogo Kobayashi yang menang ke atas pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang, 21-1123-21.

Terdahulu tiga beregu terdiri daripada Pearly Tan-M Thinaah, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong tewas kepada lawan masing-masing.

Pada aksi yang berlangsung di Yoyogi First Gymnasium, Tokyo, Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen- Jia Yi Fan 15-21, 13-21.

Untuk rekod ini adalah kekalahan keempat Pearly-Thinaah kepada gandingan China yang mana sebelum ini mereka juga turut tumpas di Terbuka Korea pada pusingan kedua minggu lalu.

Manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin tewas straight set kepada pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Yuan Xi 14-21, 17-21.

Turut menerima nasib yang sama, adalah gandingan profesional negara, Yew Sin-Ee Yi yang tumpas kepada pemenang pingat emas Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi-Lin.

Walaupun berjaya memenangi set pertama, 21-15, namun momentum itu gagal dikekalkan pada dua set berikutnya sekali gus tewas 18-21, 16-21 dalam aksi yang memakan masa 1 jam 4 minit.

Sementara Tze Yong tewas di pusingan kedua di tangan wakil Jepun, Koki Watanabe 17-21, 14-21 dalam tempoh 46 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 3:10 PM