AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal teruskan kemaraan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
AARON (kiri) dan Wooi Yik gagal teruskan kemaraan. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat pertembungan sesama sendiri beregu lelaki negara di separuh akhir Masters Malaysia 2023 esok tidak kesampaian apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin sebentar tadi.

Jika Aaron-Wooi Yik berjaya mencatat kemenangan mereka akan bertemu satu lagi pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sekali gus mengesahkan satu tempat buat wakil negara beraksi di final Ahad ini.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik yang juga pasangan nombor dua dunia tumpas straight set 18-21, 19-21 dalam aksi di Axiata Arena.

Sebelum itu Wei Chong-Kai Wun berjaya mara ke separuh akhir selepas, menumbangkan bekas juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan itu dengan kemenangan straight-set 23-21, 21-17 pada aksi suku akhir.

Selain Wei Chong-Kai Wun turut beraksi di separuh akhir esok ialah beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang akan menentang pilihan kelima dari Korea Selatan Eong Na Eun-Kim Hye Jeong.

Mereka berjaya melepasi peringkat suku akhir selepas mengetepikan wakil Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 13-21, 21-19, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 11:29 PM