Chong Wei berdepan ujian getir. FOTO AFP
Chong Wei berdepan ujian getir. FOTO AFP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan badminton lelaki negara Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas menewaskan wakil Taiwan Hsu Jen Hao 21-18, 21-13, hari ini.

Berlangsung di Pusat Sukan Wuhan, China, Chong Wei yang hadir selaku juara bertahan mengambil masa 43 minit untuk menewaskan lawannya itu.

Bagaimanapun ujian getir menanti Chong Wei di separuh akhir esok apabila bakal bertemu seteru utama yang juga jaguh tuan rumah, Lin Dan.

Lin Dan mara ke separuh akhir selepas menewaskan Chou Tien Chen dari Taiwan dengan keputusan 21-14, 21-12 pada suku akhir, hari ini.

Kali terakhir Chong Wei serta Lin Dan bertemu adalah pada final Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak awal bulan ini yang menyaksikan jaguh China itu muncul pemenang.

Chong Wei muncul wakil tunggal negara beraksi di separuh akhir esok selepas dua lagi wakil negara kandas hari ini.

Beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas 11-21, 19-21 kepada gandingan tuan rumah Lu Kai-Huang Yaqiong.

Beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula gagal menyaingi gandingan Jepun Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 16-21, 10-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2017 @ 7:57 PM