AARON (dua dari kanan) menjawab soalan ketika sidang media Masters Malaysia di ABM, hari ini. FOTO BERNAMA
AARON (dua dari kanan) menjawab soalan ketika sidang media Masters Malaysia di ABM, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Gandingan juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan menjanjikan 'bulan dan bintang' berhubung sama ada mereka mampu menamatkan kemarau lima tahun bagi wakil tuan rumah merangkul gelaran Masters Malaysia.

Sebaliknya, beregu di ranking kedua dunia itu mahu membuktikan keupayaan mereka terlebih dahulu pada kejohanan yang bakal berlangsung di Axiata Arena, bermula 23 hingga 28 Mei ini.

Aaron, 26, yang mengakui teruja dan gementar untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri pada kejohanan yang menjadi Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pertama menawarkan mata ranking ke 'Race to Paris' itu, berkata mereka sedang membuat persiapan rapi bagi saingan itu.

"Kita susah nak cakap (sama ada boleh menang gelaran atau tidak), jadi saya rasa kita jangan cakap tapi buat dulu, lepas buat baru cakap.

"Tempoh kelayakan (setahun) ke Olimpik sudah nak mula pada 1 Mei, jadi semua kejohanan dalam tempoh ini penting. Kita berharap boleh kekalkan prestasi dengan konsisten," katanya pada sidang media kejohanan itu di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Kali terakhir wakil Malaysia merangkul gelaran Masters Malaysia pada edisi 2017 apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing muncul juara beregu campuran, manakala Datuk Lee Chong Wei adalah pemain paling cemerlang dengan lima gelaran (2009, 2010, 2011, 2012 dan 2016) sejak edisi sulung pada 2009.

Edisi 2021 dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Aaron mengakui pendekatan ABM menggunakan latihan simulasi video sejak awal bulan ini, membantu mereka meningkatkan prestasi dengan hasilnya diharap dapat dilihat pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) bermula 25 hingga 30 April ini di Dubai.

"Ia membantu kita untuk betulkan kesilapan yang selalu kita lakukan, kurangkan kesilapan mudah. Saya tidak boleh kongsi banyak kerana ada privasi," jelasnya.

Prestasi Aaron-Wooi Yik sebelum ini dilihat tidak konsisten ketika siri kejohanan di Eropah pada bulan lalu.

Sementara itu, Wooi Yik, 25, berkata mereka sudah membuat persiapan rapi untuk BAC dan berharap mencapai prestasi yang baik supaya memperoleh keyakinan menjelang tempoh kelayakan Olimpik Paris 2024, yang bakal bermula dengan Piala Sudirman pada 14-21 Mei di Suzhou, China.

"Banyak yang kita perbaiki dari segi skil, taktikal, pertukaran dan untuk kita lebih serasi ketika perlawanan.

"Kita harapkan ini boleh bantu, namun kita tak nak letakkan harapan yang tinggi untuk BAC, sebab ada banyak lagi kejohanan lebih penting selepas itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 9:22 PM