SOON Huat (kanan) dan Shevon sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Terbuka Switzerland. FOTO BADMINTON PHOTO
SOON Huat (kanan) dan Shevon sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Terbuka Switzerland. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Terlalu tergesa-gesa dan tidak sabar menjadi punca pasangan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terlepas peluang keemasan untuk merangkul kejuaraan sulung tahun ini di final Terbuka Switzerland, semalam.

Ia diakui Shevon apabila dia dan Soon Huat tergesa-gesa untuk mematikan pukulan lawan ketika beraksi di rubber set.

"Memang kecewa dengan kekalahan ini, sebab kita fokus untuk mendapatkan kejuaraan Terbuka Switzerland.

"Tahun lalu kami berjaya mara ke final juga (sekadar naib juara), jadi tahun ini kami mahu mencatatkan keputusan lebih bagus," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Gandingan itu yang menduduki ranking ke-11 dunia, akur kepada pasangan muda China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas kalah 17-21, 21-19, 17-21.

Ujar Shevon, mereka mula hilang fokus ketika di kedudukan 16-16 apabila tidak banyak bersabar dan tidak melakukan apa yang perlu dilakukan.

"Kami tergesa-gesa hendak matikan pukulan lawan sehingga kami memberi ruang buat mereka mengawal perlawanan dan mempunyai momentum.

"Agak sayang sekali kami tidak memperlahankan sedikit rentak permainan dan sabar sambil bertarung dalam permainan rali.

"Sebenarnya di set kedua minda kami ketika itu sudah bagus walaupun sedang ketinggalan (tewas di set pertama).

"Ketika itu kami tidak fikir banyak, tidak terlalu tumpu kepada pungutan mata, hanya fokus apa yang perlu dilakukan," kata Shevon.

Menurutnya, kesimpulan yang diperoleh daripada kekalahan semalam ialah siapa lebih bersabar dan mempunyai minda stabil akan dapat menguasai keseluruhan perlawanan.

Selepas ini, mereka akan meneruskan aksi di Eropah dengan bermain di Masters Sepanyol yang membuka tirai esok.

Pasangan kekasih itu bakal memulakan saingan berdepan wakil Taiwan, Chang Ko Chi-Lee Chih Chen di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 1:01 PM