IZZUDDIN-SZE FEI akan bergandingan bersama pasangan baru. FOTO NSTP
IZZUDDIN-SZE FEI akan bergandingan bersama pasangan baru. FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Perpecahan gandingan Nur Izzuddin Rumsani - Goh Sze Fei nyata memberi kesan besar kepada skuad beregu lelaki negara apabila terpaksa dirombak sekali gus menyaksikan pasukan negara bakal menerima tiga pasangan baharu.

Antara gandingan yang terkena tempias dengan tindakan Sze Fei-Izzudin adalah pasangan yang kini berada di ranking ke-46 dunia, Muhammad Haikal Nazri-Wan Arif Wan Junaidi yang akur dengan keputusan barisan kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk memisahkan mereka.

Menurut Arif meskipun mengakui terkilan sebaik sahaja mendapat perkhabaran bahawa terpaksa berpisah dengan Haikal, namun pemain kelahiran Terengganu itu menerimanya dengan hati terbuka.

Kata Arif, dia mengakui selepas perbincangan bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu ABM, Rexy Mainaky, sedikit sebanyak meredakan kegelisahannya, lebih-lebih lagi bakal membentuk gandingan bersama Yap Roy King.

"Perasaan saya memang sedih dan kecewa selepas dengar pengumuman tersebut Jumaat lalu kerana perkara ini berlaku secara tiba-tiba. Memang agak sedih dan saya hanya berdiam diri, cuma beritahu kepada keluarga.

"Ketika itu, saya terkilan kerana terfikir-fikir siapakah pasangan baharu nanti. Selepas mengadakan pertemuan dan berbincang dengan Rexy, ia sedikit sebanyak dapat meredakan rasa kecewa," katanya.

Selain Arif dan Roy King, dua lagi beregu baharu yang dibentuk oleh barisan kejurulatihan adalah Izzuddin bersama Haikal manakala Sze Fei akan bergandingan dengan Choong Hon Jian.

Pada masa sama, Arif percaya dia akan membentuk gandingan yang baik bersama Roy King, lebih-lebih lagi dia memiliki kemampuan untuk bermain di mana-mana bahagian dalam gelanggang.

Untuk rekod, Wan Arif-Haikal yang diberi julukan 'Patatimo' kerana masing-masing berasal dari Terengganu dan Kelantan pernah merangkul tiga kejuaraan sepanjang gandingan mereka apabila menjuarai Siri Antarabangsa Terbuka Austria 2021, Siri Antarabangsa Hellas 2021 dan Siri Antarabangsa Ukraine 2021.

Mereka hampir meraih kejuaraan pertama dalam Jelajah Dunia BWF apabila melangkah ke final Masters Orleans 2022 tetapi terpaksa menarik diri selepas Haikal positif Covid-19 sekali gus sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 2:35 PM