ZII Jia akan berdepan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen di suku akhir esok. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
ZII Jia akan berdepan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen di suku akhir esok. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia berjaya meneruskan kemaraan ke suku akhir Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman selepas berjaya menewaskan lawan dari Ireland, Nhat Nguyen sebentar tadi.

Bagaimanapun Zii Jia terpaksa menempuh perlawanan yang mendebarkan sebelum dapat menjinakkan Nguyen dalam pertarungan straight set 22-20, 21-16 yang berlangsung selama 38 minit.

Permainan Zii Jia yang kini menghuni ranking kelapan dunia itu dilihat agak goyah di set pertama apabila lawan berjaya mengekori rapat sehingga berjaya mengikat kedudukan 19 sama.

Pengalaman nyata memihak kepada Zii Jia apabila akhirnya menutup set pertama dengan kemenangan 22-20.

Sementara itu aksi Zii Jia di set kedua tampak lebih mudah apabila mendahului 10-5 dan meneruskan aksi konsisten untuk menang 21-16.

Langkah Zii Jia itu bagaimanapun gagal dituruti beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See apabila tewas kepada lawan masing masing.

Soon Huat-Shevon tewas kepada pasangan England Nohr Niclas-Amalie Magelund, 14-21, 15-21 manakala Pang Ron-Yee See tunduk kepada pilihan pertama dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 10-21, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 11:35 PM