KISONA perlu memberikan tumpuan kepada proses pemulihan. FOTO Bernama
KISONA perlu memberikan tumpuan kepada proses pemulihan. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan wanita negara, S Kisona mengumumkan pengundurannya sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia selepas bersama lebih satu dekad.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Filipina 2019 itu berkata, keputusan untuk bergerak secara profesional dilakukan bagi membolehkan dirinya mempunyai ruang masa yang cukup untuk proses pemulihan selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan lutut dialaminya sebelum ini.

"Saya rasa ramai yang tak sedar dengan kecederaan saya dan saya memang sudah berusaha sebaik mungkin dalam kesemua kejohanan disertai. Apapun, saya memilih untuk bermain untuk tempoh masa yang lebih lama.

"Justeru itu, sekiranya tak ada proses pemulihan yang baik dalam jangka masa tertentu, mungkin kecederaan yang saya alami akan berterusan. Jadi saya berbincang dengan jurulatih... demi perancangan yang lebih baik, saya rasa sekarang ini saya perlu memberikan tumpuan kepada proses pemulihan," katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Tambah Kisona lagi, dia belum pasti bila dirinya akan kembali ke gelanggang semula memandangkan tempoh pemulihan yang bakal dilakukannya bergantung kepada tahap kecederaan yang dialaminya.

Bagaimanapun pemain berusia 24 tahun itu memberi bayangan ia tidak akan mengambil tempoh lama dan percaya keputusan yang dibuatnya itu tidak akan menjejaskan persiapannya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Ia bergantung, mungkin dalam tiga minggu, dua minggu dan mungkin lagi lama daripada itu. Saya perlu melihat, berapa teruk kecederaan itu sendiri," katanya yang berada di ranking ke-57 dunia itu.

Mengulas lanjut mengenai keputusannya itu, Kisona mengakui bergerak secara profesional memberi ruang buat dirinya untuk menentukan hala tuju kariernya sendiri berbanding ketika bersama BAM.

"Perjalanan di BAM berbeza, kamu tak mempunyai masa fleksibel kerana apabila kamu pulih, kamu perlu menyertai kejohanan kerana tidak mahu ranking jatuh selain memburu kelayakan ke Olimpik dan kejohanan lain.

"Jadi sebagai pemain profesional, saya mempunyai masa tersendiri, boleh pulih dengan lebih baik dan kembali berjuang. Saya mempunyai hubungan baik dengan BAM, jadi saya fikir pada bila-bila masa, saya boleh datang untuk 'sparring' bersama pemain junior.

"Kemudian kalau saya mempunyai peluang, saya akan masuk semula sekiranya BAM benarkan. Apapun, saya tetap membawa nama Malaysia dan saya akan memberikan yang terbaik untuk negara.

"Dalam pada itu, Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Dr Tim Jones mengumumkan 12 senarai nama pemain yang dilepaskan daripada skuad senior ABM dan selain Kisona, turut mengambil keputusan keluar adalah pemain beregu lelaki, Low Hang Yee.

ABM turut mengumumkan senarai skuad senior kebangsaan bagi tahun depan yang merangkumi 55 pemain membabitkan 13 pemain dalam acara perseorangan lelaki dan empat acara perseorangan wanita.

Bagi acara beregu lelaki menyaksikan 19 pemain berada dalam senarai kebangsaan dengan Yap Roy King menggalas dua tanggungjawab beregu lelaki dan campuran.

Seramai 11 pemain berada dalam acara beregu wanita dengan Teoh Mei Xing dan Valeree Siow turut dijadual menyertai beregu campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 3:52 PM