PESERTA AJBC pusingan ketujuh bergambar bersama. FOTO AJBC
PESERTA AJBC pusingan ketujuh bergambar bersama. FOTO AJBC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Saingan kelayakan Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) pusingan ketujuh di Kluang, Johor menjadi detik yang tidak dapat dilupakan buat ramai pemain yang memberikan persembahan terbaik.

Saingan kelayakan itu ternyata menjadi tugas sangat penting buat semua pemain yang beraksi apabila masing-masing memburu tempat ke Grand Final yang bakal berlangsung 25 hingga 27 November ini di Stadium Juara, Bukit Kiara.

AJBC di Johor ini adalah tiket terakhir buat pemain mencari slot Grand Final yang bakal menghimpunkan 168 pemain.

Kevin Leow dan Siau Yu Hang antara pemain yang berjaya meraih slot berkenaan selepas mencatat kemenangan sensasi dalam saingan beregu lelaki bawah 15 tahun.

Kevin yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perling, manakala Yu Hang dari SMK Pekan Nanas, tidak berdepan masalah mengalahkan Chen Jia Le-Yap Jen Wee 14-21, 21-17, 21-16 dalam aksi 50 minit.

"Kami berjaya ke Grand Final sebagai selepas muncul juara. Ia adalah kejohanan pusingan kelayakan terakhir dan kami perlu bermain bersungguh-sungguh untuk kemenangan ini.

"Apabila kami tewas di set pertama saya memberitahu pasangan saya bahawa kami perlu bangkit semula dengan semangat melawan," kata Kevin.

Turut layak adalah pemain perseorangan Chiam Zi Yi selepas pelajar SMK Mutiara Rini itu mengalahkan lawannya, Kong Wen Zhuo 17-21, 21-19, 21-18 dalam perlawanan akhir lelaki bawah 15 tahun.

Sementara itu pasangan adik beradik, Kua Ming Ze dan Kua Wei Ze, untuk menempah slot Grand Final bersama-sama tidak kesampaian apabila mereka tumpas dalam saingan beregu lelaki Bawah 13 tahun kepada Chin Tze Hao-K Kartik 11-21, 20-22.

Bagaimanapun, hanya Ming Ze sahaja yang akan beraksi di Bukit Kiara selepas dia memenangi aksi final perseorangan lelaki mengalahkan Goh Wei Zhan 21-15, 21-7.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:28 PM