TIEW Wei Jie (kanan) dan Tiew Yi Cheng   muncul juara Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) 2022 Perak di Arena Badminton Tan Sri Lee Loy Seng.  FOTO L Manimaran
TIEW Wei Jie (kanan) dan Tiew Yi Cheng muncul juara Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) 2022 Perak di Arena Badminton Tan Sri Lee Loy Seng. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Berkongsi nama keluarga serupa selain berkongsi tarikh lahir sama membuatkan beregu kategori lelaki bawah 15 tahun (BD U15) Tiew Wei Jie-Tiew Yi Cheng sering disangka adik beradik biarpun sebenarnya tidak.

Kedua-dua remaja berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Telok Datuk, Selangor itu muncul juara kategori terbabit dalam Kejohanan Badminton Junior Allianz (AJBC) 2022 Perak di Arena Badminton Tan Sri Lee Loy Seng, di sini yang berlangsung bermula Jumaat lalu hingga hari ini.

Mereka menewaskan gandingan Kyros Gan Way Herng-Liew Jin Xuen masing-masing dari SMJK Chong Hwa Kuala Lumpur dan SMK Kepong Baru dengan keputusan 21-9, 19-21, 21-17 di perlawanan akhir.

"Kami dari satu sekolah. Oeh kerana nama keluarga kami serupa maka memang lazimnya kami berdua dianggap pasangan dua beradik. Tiada jurulatih yang mengendalikan kami, sebaliknya kami hanya gemar bermain sendiri," kata Yi Cheng kepada Harian Metro di samping menambah bahawa dia dan Wei Jie berkongsi tarikh lahir serupa iaitu 8 Februari 2008.

Katanya lagi, kemenangan diraih kali ini bukanlah di luar jangkaan memandangkan kedua-dua mereka juga menjuarai kategori BD U15 Hari Malaysia Cup 1st Annual Badminton Tornament di Selayang, Selangor dua minggu lalu selain dia sendiri meraih tempat ketiga kategori perseorangan lelaki bawah 15 tahun (BS U15).

"Kemenangan kali ini sememangnya dijangka dan kami akan cuba mantapkan lagi permainan selepas ini," katanya yang menambah mereka bakal beraksi di pentas akhir AJBC yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 November di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Sementara itu, bagi Low Hui Yein, 12, dia masih berbangga apabila muncul naib johan kategori beregu wanita bawah 13 tahun (GD U13) biarpun kakaknya, Low Hui En, 14, tersungkur di suku akhir semalam.

Malah Hui Yein dari SJKC Chung Tack berkata kejayaan diraih bersama kakaknya itu tetap dianggap membanggakan berikutan sebelum ini mereka sekadar bertanding mewakili sekolah.

"Kejohanan kali ini yang tertinggi pernah saya sertai memandangkan sebelum ini kami dua beradik hanya wakil sekolah sahaja dan kemenangan tempat kedua sememangnya di luar jangkaan dan saya tidak sangka.

"Saya bertuah kerana ibu bapa menyokong minat kami bermain badminton selain sering menekankan agar kami pergi lebih jauh," kata anak kedua dari empat beradik itu yang menetap di Kampung Simee, di sini.

Dalam kategori beregu perempuan bawah 13 tahun. gandingan Hui Yein-G Anusha tewas mudah kepada gandingan pemain Perak, Nur Aina Maisarah Muhammad Hatta-A Baavanya 13-21, 15-21.

AJBC di Arena Badminton Tan Sri Lee Loy Seng, Ipoh yang berlangsung dari 30 September lalu dan berakhir hari ini disertai lebih 400 peserta dan merupakan Pusingan Kelayakan 4 selepas Pusingan Kelayakan Pertama yang berlangsung mulai 22 hingga 24 Julai lalu di Puchong.

Pusingan akhir dijangka berlangsung 24-26 November ini Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur membabitkan pemenang di setiap pusingan kelayakan membabitkan keseluruhan sebanyak tujuh (7) pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 9:19 PM