TZE Yong sugul selepas tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
TZE Yong sugul selepas tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Peminat badminton negara tidak senang duduk selepas melihat satu demi satu wakil negara tumbang pada pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini.

Bermula dengan perseorangan lelaki, Ng Tze Yong diikuti beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan kemudian juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumbang kepada lawan masing-masing.

Ia menimbulkan persoalan sama ada wakil negara mampu melepasi sehingga ke saingan final tatkala setakat hari ini, hanya beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan gandingan baru beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya melangkah ke suku akhir.

Tze Yong, yang menghuni ranking ke-25 terpaksa akur dalam pertarungan tiga set di tangan pemain Jepun, Kodai Naraoka 21-15, 19-21, 15-21 pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia perlu beraksi dalam lebih banyak lagi kejohanan bagi meraih pengalaman bermain di peringkat tertinggi, sekali gus melonjakkan prestasinya.

"Saya harus akui kekalahan ini. Ketika saya mendahului 19-15 di set kedua, memang dia bermain dengan baik dan bukannya saya yang melakukan kesilapan mudah.

"Ini adalah satu pengajaran berguna untuk saya. Saya fikir perlu bermain dalam banyak kejohanan untuk mengutip pengalaman.

"Ini adalah tahun pertama saya bermain dalam kejohanan utama jika dibandingkan dengan Naraoka yang sudah beberapa tahun beraksi.

"Jadi, saya perlukan lebih banyak pengalaman bagi meningkatkan permainan dan melonjakkan ranking dunia saya," kata Tze Yong yang ditemui selepas tamat perlawanan.

Kekalahan itu menyaksikan Tze Yong muncul pemain negara kedua menjadi 'mangsa' Naraoka di Terbuka Malaysia kali ini selepas lawan itu mengejutkan Lee Zii Jia 21-13, 17-21, 19-21 di pusingan pertama, semalam.

Keputusan itu bermakna tiada lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki di Terbuka Malaysia kali ini selepas Liew Daren yang dijadual beraksi menentang pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan kedua hari ini menarik diri ekoran masalah kecederaan.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon tersingkir selepas ditumpaskan pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong 16-21, 10-21.

Aaron-Wooi Yik pula gagal untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian tahun lalu mara sehingga ke separuh akhir, apabila kalah kepada pasangan nombor enam dunia itu 10-21, 21-23.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 8:09 PM