HENDRAWAN percaya Tze Yong akan meraih kejayaan satu hari nanti. -FOTO NSTP
HENDRAWAN percaya Tze Yong akan meraih kejayaan satu hari nanti. -FOTO NSTP
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong diharap tidak berputus asa selepas disingkirkan oleh seorang lagi pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia pada suku akhir Terbuka Australia, semalam.

Jelas jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, Tze Yong perlu bekerja lebih keras lagi dan beliau percaya anak didiknya itu akan meraih kejayaan suatu hari nanti.

Tze Yong memberi tentangan sengit sebelum tewas 21-17, 24-26, 19-21 di tangan Zii Jia pada perlawanan yang berlangsung selama 1 jam 23 minit itu.

"Tidak perlu simpati daripada orang lain. Kalau anda mahu menangis, menangislah sekarang. Jika anda berasa kecewa, kecewalah sekarang.

"Ingat, kekalahan ini adalah sesuatu yang pahit. Belajar semula, bekerja keras lagi dan percaya bahawa satu hari nanti senyuman kegembiraan dan bangga akan hadir.

"Sebab kita percaya, kita sudah buat yang terbaik tetapi masih belum cukup lagi," kata Hendrawan menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.

Sementara itu, Hendrawan turut mengucapkan tahniah kepada bekas anak didiknya, Zii Jia yang akhirnya menunjukkan kebangkitan semula selepas lima kejohanan berturut-turut tersingkir di pusingan awal.

"Tahniah Zii Jia, bukan hanya kerana anda menang, tetapi anda menewaskan musuh utama iaitu diri anda sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 1:30 PM