TZE Yong menerima kejutan apabila dipilih mewakili negara ke temasya berkenaan bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
TZE Yong menerima kejutan apabila dipilih mewakili negara ke temasya berkenaan bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui dia kini memikul tanggungjawab besar dalam usaha membantu negara meraih pingat pada temasya Sukan Komanwel yang berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Jelas pemain di ranking ke-48 dunia itu dia akan cuba sedaya upaya dan memberikan yang terbaik dan pastinya pingat menjadi sasarannya biarpun tidak lagi diletakkan harapan selepas penarikan diri pemain profesional negara, Lee Zii Jia.

Malah statusnya sebagai 'underdog' itu mungkin akan memberikannya tuah dalam memberikan aksi terbaik apabila turun tanpa sebarang tekanan.

Semalam, Tze Yong menerima kejutan apabila dipilih mewakili negara ke temasya berkenaan bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan Zii Jia yang memutuskan untuk menarik diri bagi memberi fokus persiapan menghadapi Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Jepun dua minggu selepas temasya Komanwel tamat.

Mengakui terkejut dengan perkhabaran itu, Tze Yong berkata, dia perlu mempersiapkan diri untuk berada di dalam keadaan terbaik kerana sedar cabaran yang akan diterimanya tidaklah mudah apabila perlu berdepan dengan jauh dari India, Lakshya Sen dan dan juara dunia dari Singapura Loh Kean Yew.

"Saya terima cabaran ini dan saya hanya mahu buat yang terbaik. Ketika ini saya tak mahu fikir apa-apa lagi dan saya hanya mahu fokus kepada latihan dan mempersiapkan diri.

"Saya akan usaha untuk berikan yang terbaik dan membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih kepada saya di temasya ini," katanya yang pernah bertemu Lakshya dalam pertarungan tiga set di separuh akhir Terbuka India, Januari lalu.

Tegasnya dia akan beraksi di dua kejohanan sebagai persiapan sebelum ke Birmingham dan dijadualkan beraksi di Masters Malaysia yang berlangsung dari 5 hingga 10 Julai dan Terbuka Singapura 12 hingga 17 Julai yang mana dia akan bermula di pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 2:58 PM