TIMBALAN CDM ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro (kiri) ketika bertemu pemain di Akademi Badminton Malaysia, hari ini. FOTO ihsan FB BAM
TIMBALAN CDM ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro (kiri) ketika bertemu pemain di Akademi Badminton Malaysia, hari ini. FOTO ihsan FB BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keputusan pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menarik diri ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022 bakal bermula 35 hari saja, nyata mengejutkan banyak pihak.

Berita penarikan diri dikongsi Zii Jia menerusi video itu nyata memberi impak terutama dalam sasaran pingat skuad negara di temasya bermula 28 Julai hingga 8 Ogos itu, apabila pemain di ranking kelima dunia itu adalah prospek emas negara.

Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro kini menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menentukan semula sasaran pingat.

"Saya tak boleh bercakap bagi pihak MOM dan BAM, tapi sebagai seorang yang bertanggungjawab ke atas kem negara, saya memang kecewa kerana Sukan Komanwel adalah kejohanan untuk negara dan meletakkan harapan untuk dia bawa pulang pingat.

"Saya mendengar perkhabaran ini pun hanya melalui video yang dia siarkan dan itu saja yang kami tahu. Memang kecewa dengan keputusan dia sebab Kejohanan Dunia itu dua minggu selepas Sukan Komanwel berlangsung," kata ketika ditemui pada sesi pertemuan bersama barisan pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Bagaimanapun, Gerard berharap berita penarikan diri Zii Jia tidak akan menjejaskan persiapan skuad badminton negara yang sentiasa menjadi lubuk emas di temasya empat tahun sekali itu.

Terdahulu Zii Jia memutuskan untuk tidak membuat penampilan di Birmingham 2022 dengan alasan jadual padat diharunginya sejak kebelakangan ini, di samping berhasrat memberi tumpuan kepada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, dari 22 hingga 28 Ogos ini.

Kekosongan ditinggalkan juara Asia itu memberi peluang buat perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengalas tugas sebagai perseorangan lelaki negara.

Pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast, empat tahun lalu, skuad badminton negara membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Emas dihadiahkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu wanita Chow Mei Kuan-Vivian Hoo.

Manakala perak disumbangkan acara berpasukan campuran dan gangsa diraih beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 2:30 PM