PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong menewaskan pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo di pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, hari ini. FOTO EPA
PEMAIN perseorangan negara, Ng Tze Yong menewaskan pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo di pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, hari ini. FOTO EPA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong memberi perkhabaran gembira pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia apabila mara ke pusingan kedua, hari ini.

Tze Yong yang menghuni ranking ke-42 dunia tidak berdepan masalah menewaskan juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo 21-16, 21-10.

Berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun, Tze Yong hanya memerlukan 40 minit untuk menjinakkan pemain yang pernah ditewaskannya sebelum ini ketika cabaran Antarabangsa Indonesia pada 2019.

Kejayaan itu menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu bakal berdepan sama ada pemain Jepun, Kanta Tsuneyama dan Sitthikom Thammasin dari Thailand bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.

Kelibat Tze Yong kali ini akan menjadi tumpuan berdasarkan prestasi luar biasanya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila dia berjaya menewaskan bekas pemain nombor satu dunia dari India, K Srikanth ketika final berpasukan campuran dan separuh akhir saingan individu.

Kejayaannya itu menyaksikan dia meraih pingat perak ketika tiada sebarang sasaran diletakkan kepadanya terutama apabila terpilih beraksi di Birmingham 2022 pada saat akhir ekoran penarikan diri Lee Zii Jia.

Pastinya tonik terbaik buat Tze Yong yang dibawa ke Tokyo kali ini adalah kejayaannya mengatasi juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di suku akhir saingan individu di Birmingham 2022, apabila membuktikan ranking bukan masalah besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 9:38 AM