TZE Yong tewas kepada Antonsen di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia, semalam. FOTO AFP
TZE Yong tewas kepada Antonsen di pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia, semalam. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui masih banyak perlu diperbaiki pemain negara, Ng Tze Yong.

Semalam, perjalanan Tze Yong di Kejohanan Badminton Dunia terhenti apabila tewas kepada pemain Denmark, Anders Antonsen 22-24, 16-21 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Royal Arena.

"Tiada alasan kekalahan Tze Yong kerana dia tewas kepada lawan lebih baik yang lebih matang dengan lebih banyak pengalaman.

"Dia sudah mencuba yang terbaik dan ini adalah hasil terbaik boleh kami hasilkan pada masa ini. Masih banyak perlu diperbaiki dan kami akan cuba memberikan yang terbaik," kata Hendrawan.

Terdahulu, pemain berusia 23 tahun itu cemerlang apabila menewaskan wakil China yang juga pemenang pingat gangsa tahun lalu, Zhao Jun Peng 21-19, 26-24 di pusingan pertama.

Kekalahan itu turut menyaksikan perebutan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 semakin sukar buat Tze Yong yang kini bersaing dengan seorang lagi pemain negara, Lee Zii Jia.

Berdasarkan ranking kedudukan Race To Paris, Tze Yong menduduki tempat ke-17 manakala Zii Jia ke-18, namun kedudukan itu dijangka berubah apabila Kejohanan Badminton Dunia berakhir.

Bagi melayakkan diri ke Olimpik Paris, Tze Yong perlu berada dalam kelompok 16 pemain terbaik bagi membolehkan Malaysia mempunyai dua wakil beraksi di temasya itu bersama Zii Jia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 4:40 PM