NORZA tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ketika dalam situasi panas membabitkan kedua-dua belah pihak. FOTO OWEE AH CHUN
NORZA tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ketika dalam situasi panas membabitkan kedua-dua belah pihak. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ketika ini tidak mahu memberi komen lanjut berhubung situasi yang dialami membabitkan badan induk itu dengan pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Presidennya, Tan Sri Norza Zakaria ketika dihubungi berkata, biarlah keadaan kembali reda terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Katanya, BAM tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan ketika dalam situasi panas membabitkan kedua-dua belah pihak.

"Saya tak nak komen lanjut. Perkara ini sedang panas. Biar ia reda dulu," katanya.

Begitupun mungkin ada jalan penyelesaian apabila pertemuan membabitkan BAM bersama pemain ranking ketujuh dunia itu dengan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berlangsung esok.

Isu antara BAM dan Zii Jia kini menjadi 'trending' di media sosial yang rata-rata menyalahkan BAM kerana menjatuhkan hukuman kepada Zii Jia apabila tidak akan mendaftarkan pemain itu menyertai mana-mana pertandingan antarabangsa untuk tempoh dua tahun.

Ia bermakna pemain itu bakal terlepas tiga kejohanan utama iaitu Sukan Asia, Komanwel dan juga Olimpik.

Bagaimanapun Zii Jia mendapat sokongan ribuan penyokong dengan satu kempen di Twitter menerusi akaun Malaysia Badminton Lovers menarik perhatian ramai dalam usaha mereka mempertahankan keputusan Zii Jia dan rakannya Goh Jin Wei.

Selepas dua hari dilancarkan, kempen petisyen di avaaz.org Community Petitions bertajuk 'Jangan Gantung Lee Zii Jia & Goh Jin Wei' itu sudah mendapat lebih 110,000 tandatangan dengan sasaran untuk cuba mendapatkan 200,000 tandatangan.

Malah petisyen berkenaan turut ditandatangani penyokong dari Brazil, Indonesia, Singapura dan ramai lagi termasuk pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 7:45 PM