CHONG Wei berharap isu hangat mengelilingi arena badminton Malaysia kebelakangan ini akan selesai secepat mungkin. FOTO Ihsan Instagram leechongweiofficial
CHONG Wei berharap isu hangat mengelilingi arena badminton Malaysia kebelakangan ini akan selesai secepat mungkin. FOTO Ihsan Instagram leechongweiofficial
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada siapa yang menang jika isu membabitkan dunia badminton negara ketika ini berterusan.

Itu luahan bekas jaguh perseorangan lelaki dan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang turut terkesan dengan isu hangat melanda badminton negara.

Chong Wei yang meraih tiga pingat perak di temasya Olimpik dalam ruangan InstaStory miliknya berharap semua permasalahan itu dapat diselesaikan dengan segera seterusnya dapat menjernihkan kembali keadaan.

"Saya berharap isu hangat mengelilingi arena badminton Malaysia kebelakangan ini akan selesai secepat mungkin. Tiada pihak yang menang jika dibiarkan berterusan," kata Chong Wei.

Biarpun ia tidak ditujukan secara khusus kepada individu namun ia dipercayai ditujukan merujuk kepada kemelut yang melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke atas pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan juga perseorangan wanita, Goh Jin Wei.

Semalam, BAM menjatuhkan hukuman terhadap Zii Jia dan Jin Wei apabila tidak akan mendaftarkan kedua-dua pemain itu untuk menyertai mana-mana pertandingan dalam tempoh dua tahun selepas mereka memutuskan untuk bergerak secara profesional.

Ia bermakna atlet kelahiran Alor Star Kedah itu bakal terlepas beberapa temasya penting antaranya Sukan Sea, Sukan Asia, Komanwel dan juga Olimpik.

Sebagai rekod, semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:21 PM