ZII Jia dimaklumkan bahawa pemain nombor satu negara itu sudah pun meninggalkan Akademi Badminton Negara (ABM) semalam. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
ZII Jia dimaklumkan bahawa pemain nombor satu negara itu sudah pun meninggalkan Akademi Badminton Negara (ABM) semalam. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus mengambil pendekatan mendiamkan diri dari memberi sebarang maklum balas selepas dijatuhkan hukuman oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam.

Tiada sebarang komen diberikan malah dia turut membisu di laman sosial miliknya, Facebook dan Instagram.

Turut dimaklumkan bahawa pemain nombor satu negara itu sudah pun meninggalkan Akademi Badminton Negara (ABM) semalam (Jumaat).

Zii Jia yang juga juara Seluruh England itu dilaporkan sudah membawa keluar barang peribadinya pada petang semalam sejurus selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman terhadap pemain itu selama dua tahun.

Namun pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun memberi reaksi balas dengan ucapan terima kasih terhadap sokongan yang oleh rakan seperjuangan seperti Hans-Kristian Solberg Vittinghus, Koo Kien Keat dan Viktor Axelsen.

Terdahulu beberapa peminat dan warganet berusaha keras dalam kempen menyelamatkan karier Lee Zii Jia daripada musnah dalam masa dua tahun apabila pemain itu tidak akan didaftar oleh BAM bertanding pada mana-mana kejohanan susulan keputusannya keluar daripada badan induk itu.

Satu kempen di Twitter menerusi akaun Malaysia Badminton Lovers menarik perhatian ramai dalam usaha mereka mempertahankan keputusan Zii Jia dan rakannya Goh Jin Wei dengan mengumpul petisyen mendesak BAM supaya menarik balik keputusan itu yang nyata tidak boleh diterima kebanyakan penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:30 PM