ZII Jia ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
ZII Jia ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia menegaskan keputusannya untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan kerana wang.

Ada sesuatu yang mendorong dia membuat keputusan itu, namun ketika ini bukan masa sesuai untuk dia menjelaskan semuanya.

Katanya, dia akan menunggu pengumuman daripada BAM berhubung keputusannya untuk keluar daripada badan induk itu esok sebelum memaklumkan tindakan selanjutnya.

"Saya masih menghormati BAM. Kita tunggu apa BAM cakap dan selepas itu saya juga akan buat sidang media dan beritahu semuanya.

"Tapi saya ingin jelaskan keputusan ini bukan senang bagi saya. Lai Pei Jing ada berkongsi pengalaman dan bergerak secara profesional ini tidak mudah kerana semua orang tahu BAM adalah tempat yang mempunyai kemudahan terbaik di Malaysia.

"Memang ada benda dan sebab mengapa saya buat keputusan ini yang saya tak boleh cakap sekarang," katanya.

Zii Jia menjelaskan keputusan yang dibuat tidak didorong oleh sesiapa, malah tidak mahu mereka mengaitkannya dengan jurulatih.

"Sebelum saya buat keputusan ini memang saya ada bincang dengan jurulatih (Hendrawan).

"Apabila saya buat keputusan ini, saya tak nak mereka (jurulatih) campur tangan dengan keputusan saya. Apa yang saya harapkan adalah restu dari semua pihak termasuklah BAM," katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, timbul khabar angin yang mengatakan bahawa pemain nombor tujuh dunia itu akan keluar daripada BAM kerana memerlukan perubahan bagi mengembalikan semula rentak terbaiknya sebelum ini.

Spekulasi peletakan jawatannya juga hangat diperkatakan selepas ada dakwaan bahawa Zii Jia bakal menerima tawaran membabitkan penajaan sebanyak RM4 juta bagi membiayai perjalanan profesionalnya, jika meninggalkan BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 5:29 PM