GAMBAR profil Zii Jia yang ditukar kepada warna hitam. FOTO Lee Zii Jia
GAMBAR profil Zii Jia yang ditukar kepada warna hitam. FOTO Lee Zii Jia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Gambar profil di laman sosial Facebook Lee Zii Jia mungkin menggambarkan apa yang bermain di lubuk hati pemain itu selepas dia dikenakan tindakan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Persoalan itu menjadi tanda tanya apabila dia menukarkan gambar profil dan Instagram miliknya kepada warna hitam.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan maklum balas daripada pemain nombor satu negara itu tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan.

Umum pasti mengetahui warna hitam berkenaan sering kali dikaitkan dengan perasaan suram, berkabung ataupun kematian.

Pastinya ia berpunca daripada hukuman yang dijatuhkan kepadanya oleh BAM selepas dia memaklumkan untuk meninggalkan badan induk itu pada 11 Januari lalu.

Terdahulu BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan dia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua berkuat kuasa 18 Januari.

Setakat jam 9 malam tadi, gambar profil yang ditukar Zii Jia itu sudah meraih 49,000 tanda suka, 6,300 komen dan dikongsi 3,000 pengikutnya.

Rata-rata pengikutnya memberikan kata-kata semangat buat Zii Jia susulan tindakan yang diambil oleh BAM.

Sementara itu Timbalan Presiden BAM 2, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, selepas menerima surat peletakan jawatan daripada pemain berusia 23 tahun itu pada 11 Januari lalu, pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan bagi memujuk Zii Jia mempertimbangkan semula keputusannya itu.

Bagaimanapun, katanya, Zii Jia yang juga pemain ranking nombor tujuh dunia kekal dengan pendiriannya dan memberikan dua alasan iaitu dia tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi dalam skuad kebangsaan selain gaya hidup yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 9:21 PM