AKSI Zii Jia ketika menentang Kean Yew. FOTO BAM
AKSI Zii Jia ketika menentang Kean Yew. FOTO BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan mengakui Lee Zii Jia sudah mencuba semaksimum mungkin sebelum terpaksa menarik diri akibat kecederaan belakang ketika bertemu pemain Singapura, Loh Kean Yew di final Terbuka Hylo, hari ini.

Pada aksi final di Saarbrucken, Jerman itu, Zii Jia terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 13-21 12-17 iaitu kekalahan kali kedua di tangan lawan kelahiran Pulau Pinang itu selepas turut tewas di pusingan pertama Terbuka Perancis, minggu lalu.

Kekalahan itu sekali gus meranapkan impian pemain berusia 23 tahun itu untuk merangkul gelaran kedua tahun ini selepas memenangi Seluruh England, Mac lalu.

Hendrawan mengakui Zii Jia mengalami keletihan dari aspek mental selepas mengharungi lima kejohanan berturut-turut di Eropah.

"Zii Jia sudah mencuba semaksimum mungkin. Tidak perlu bercakap mengenai taktik dan strategi kerana Zii Jia juga agak kepenatan terutama dari aspek mental. Ini pengalaman baru untuk Zii Jia. Kini terpulang kepadanya bagaimana untuk mengatasi dan mengawal kepenatan," katanya.

Sebelum beraksi di Terbuka Hylo dan Perancis, Zii Jia turut beraksi dalam saingan Piala Sudirman, Piala Thomas dan Terbuka Denmark.

Mengenai kecederaan belakang dialami pemain yang menduduki ranking kelapan dunia itu, Hendrawan berkata masih ada beberapa hari lagi untuk Zii Jia berehat.

"Kami akan buat keputusan di saat akhir, jika dia masih belum pulih sepenuhnya, mungkin akan menarik diri daripada saingan Masters Indonesia," katanya.

Zii Jia pernah mengalami kecederaan belakang pada Ogos tahun lalu sehingga menyaksikan dia terpaksa berehat selama dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:07 PM