LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
LEE Zii Jia. FOTO Badminton Photo
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tahap kecederaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini berada dalam keadaan terkawal dan berkemungkinan akan tetap turun beraksi di Kejohanan Masters Indonesia yang akan bermula Selasa ini.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh bagaimanapun menegaskan BAM akan tetap memantau keadaan terkini pemain berusia 23 tahun itu dari masa ke semasa bagi memastikan dia dapat beraksi di Siri Super Akhir nanti.

"Dia masih dalam proses pemulihan dan tiada apa yang serius. Kami memang harap dia boleh beraksi salah satu dari dua kejohanan di Indonesia itu.

"Apapun yang penting dia (Zii Jia) kena selesa dengan diri dia sendiri dan setakat ini masih belum ada sebarang keputusan sama ada dia akan menarik diri atau tidak," katanya.

Menurut Kenny, berdasarkan syarat penyertaan Siri Super Akhir itu, Zii Jia perlu beraksi satu dari dua kejohanan di Indonesia sama ada Masters Indonesia atau Terbuka Indonesia biarpun dalam senarai ranking Siri Super Akhir itu dia berada di kedudukan kedua.

Terdahulu keadaan Zii Jia kini menjadi tanda tanya selepas dia menarik diri sewaktu beraksi di pentas akhir Terbuka Hylo di Jerman ketika menentang pemain Singapura Loh Kean Yew.

Jelas pemain nombor tujuh dunia itu, dia tiada pilihan selain terpaksa menarik diri berikutan kecederaan belakang dan terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 13-21, 12-17 iaitu kekalahan kali kedua di tangan lawan kelahiran Pulau Pinang itu selepas turut tewas di pusingan pertama Terbuka Perancis.

Bagaimanapun nama Zii Jia tetap disenaraikan untuk beraksi di Masters Indonesia dan dia akan bertemu pemain England, Rasmus Gemke di pusingan pertama.

Sekiranya menang, pemain kelahiran Kedah itu dijangka akan menentang sama ada pemain Korea, Heo Kwanghee atau Toma Junior Popov dari Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 1:55 PM